Thursday, July 10, 2008

Minyak Jet Dari Sisa Minyak Masak?

BANGI, 8 Julai (Bernama) -- Selepas ini bila anda menggoreng ikan, jangan buang sisa minyak masak itu kerana ia boleh dijadikan minyak untuk jet.

Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah mencipta minyak jet yang baru dengan menggunakan sisa minyak masak.

Naib-Canselor Uniten Datuk Dr Mashkuri Yaacob hari ini berkata pihak universiti mengambil masa kira-kira enam tahun untuk menghasilkan biodiesel daripada sisa minyak masak itu.

Minyak jet yang baru itu dijangka diuji untuk penerbangan dalam masa tiga bulan akan datang memandangkan komposit pesawat yang baru dicipta dan dinamakan Jetpod oleh Avcen Limited, syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di United Kingdom, kini dipasang di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Pesawat itu dicipta untuk pelbagai kegunaan seperti jet eksekutif dan ambulan udara.

Uniten hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Avcen Limited untuk memaju dan membekalkan minyak jet yang baru bagi Jetpod, di Uniten di sini.

Uniten diwakili oleh Dr Mashkuri manakala Pengarah Urusan Mike Dacre yang juga pencipta Jetpod menandatangani memorandum itu bagi pihak syarikat berkenaan.

Dr Mashkuri berkata penggunaan sisa minyak masak sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel dimulakan di Uniten pada November 2002 melalui projek yang dinamakan Kajian Potensi Tenaga daripada Sisa Minyak Masak di Malaysia.

Dianggarkan lebih kurang dua hingga tiga bilion liter minyak masak berasaskan sayur digunakan setiap tahun di Malaysia dan jumlah yang besar itu biasanya berakhir ke dalam sungai yang boleh menyebabkan pencemaran.

"Menukar sisa minyak masak kepada biodiesel adalah sesuatu yang mencabar kerana perlu mengendalikan parameter yang besar untuk mengeluarkan hasil yang menepati standard antarabangsa," kata Dr Mashkuri.

Beliau berkata sisa minyak masak yang dihasilkan Uniten memenuhi piawaian United States' National Biodiesel Board.

Beliau berkata ia adalah satu kejayaan bagi kajian biodiesel oleh Uniten dan pendapatan hasil mengkomersialkan kajian melalui usahasama dengan Avcen Limited akan membolehkan pihak universiti membiayai kajian lain.

Dacre berkata Jetpod yang kini dipasang di Taman Teknologi, menggunakan 60 peratus komponen keluaran tempatan.

Beliau berkata Jetpod boleh berlepas dan mendarat di landasan sepanjang 125 meter, dengan kelajuan 375 knots serta mampu mengurangkan bunyi bising.

-- BERNAMA

Friday, July 4, 2008

Kesan Rumah Hijau & Pemanasan Global


Bumi telah mula panas kira - kira 17 0 Celcius sepanjang 100 tahun. Tapi, kenapa dan bagaimana perkara berkenaan boleh berlaku? Sehingga kini, para saintis tidak pasti sebabnya. Bumi boleh menjadi panas dengan sendirinya tetapi ramai saintis iklim di seluruh dunia mendakwa bahawa gaya hidup manusia mendorong Bumi untuk menjadi lebih cepat panas. Antaranya ialah :
  • Kesan Rumah Hijau
  • Perubahan Cuaca
  • Permanasan Global
Kesan Rumah Hijau
Saintis amat pasti mengenai kesan rumah hijau. Mereka tahu bahawa gas rumah hijau menyebabkan Bumi lebih panas dengan memerangkapkan tenaga dalam atmosfera.

Perubahan Cuaca
Cuaca adalah purata jangka panjang iklim di sesuatu kawasan yang dikumpulkan. Perubahan cuaca mewakili perubahan corak iklim dalam satu tempoh yang panjang. Ia boleh bertambah sejuk atau panas. Jumlah taburan hujan atau salji boleh meningkat atau berkurangan.

Pemanasan Global
Pemanasan global merujuk kepada peningkatan purata dalam suhu Bumi di mana ia menyebabkan perubahan dalam cuaca. Bumi yang lebih panas boleh membawa perubahan dalam corak taburan hujan, peningkatan paras laut dan kesan yang besar kepada tanaman, hidupan liar dan juga manusia.

Apabila saintis bercerita mengenai isu perubahan, mereka mengambil berat mengenai pemanasan global yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

Salah satu daripadanya adalah semasa bermulanya Revolusi Industri sekitar 200 tahun lalu dan manusia mula mengubah iklim dan alam sekitar menerusi amalan pertanian dan industri yang membawa kepada kesan rumah hijau.

Kesan rumah hijau merupakan peningkatan dalam suhu yang dialami oleh Bumi kerana beberapa gas dalam atmosfera seperti wap air, karbon dioksida, nitrus oksida dan metana memerangkap tenaga dari matahari.

Tanpa gas - gas berkenaan, haba boleh 'lepas' ke angkasa dan purata suhu Bumi akan menjadi lebih sejuk kira - kira 15 0 C (60 0 F). Pernahkan anda melihat rumah hijau? Kebanyakan rumah hijau kelihatan sama seperti rumah kaca yang kecil. Rumah hijau biasanya digunakan untuk menanam pokok terutamanya semasa musim sejuk.

Rumah hijau berfungsi dengan memerangkap haba daripada matahari. Panel kaca rumah hijau membenarkan cahaya masuk tetapi tidak membenarkannya melepaskan diri. Ini menyebabkan rumah hijau menjadi lebih panas seperti dalam kereta yang diletakkan di bawah cahaya matahari dan membekalkan tumbuhan dengan haba yang mencukupi untuk hidup semasa musim dingin.

Cahaya matahari memasuki atmosfera Bumi menerusi lapisan gas rumah hijau. Apabila ia sampai ke permukaan Bumi, tanah, air dan biosfera menyerap tenaga cahaya matahari. Apabila diserap, tenaga ini kemudian dihantar semula ke atmosfera. Sebahagian tenaga masuk semula ke angkasa tetapi yang lain masih terperangkap dalam atmosfera oleh gas rumah hijau dan memanaskan Bumi.

Tetapi, jika kesan rumah hijau menjadi semakin bertambah, ia akan menyebabkan Bumi semakin panas daripada biasa. Walaupun sedikit sahaja peningkatan suhu, boleh menyebabkan masalah kepada manusia, tumbuhan dan haiwan. Pemanasan global juga mungkin boleh menyebabkan paras air laut semakin meningkat. Mengapa? Cuaca yang semakin panas menyebabkan glasier mencair. Glasier merupakan ketulan ais besar yang bergerak secara perlahan - lahan.

Sesetengah glasier mencair menambah lebih banyak isipadu air kepada lautan. Suhu yang panas juga akan menyebabkan air berkembang. Apabila air berkembang, ia akan mengambil ruang dan meningkatkan paras air laut.

Aras air laut mungkin meningkat beberapa inci sehingga satu meter menjelang abad akan datang. Ia akan memberi kesan ke atas sistem semulajadi dan struktur buatan manusia sepanjang pantai. Banjir di sepanjang pantai akan menyebabkan air masin mengalir ke kawasan di mana air masin merbahaya, mengancam tumbuhan dan haiwan di kawasan berkenaan.

Misalnya peningkatan kandungan garam di Teluk Delaware dan Chesapeake telah menyebabkan populasi tiram menurun di sana. Banjir dan hakisan pantai akan memberi kesan yang buruk kepada banggunan di pinggir laut serta mendedahkannya kepada gelombang ribut. Pengguna boleh menerima sahaja apa yang berlaku atau membina halangan atau kubu bagi menghadapi kenaikan paras air laut, ia pasti melibatkan kos berbilion dolar Amerika Syarikat (AS). Kejadian banjir di pinggir laut juga boleh mengurangkan kualiti air minuman di kawasan berkenaan.