Thursday, July 10, 2008

Minyak Jet Dari Sisa Minyak Masak?

BANGI, 8 Julai (Bernama) -- Selepas ini bila anda menggoreng ikan, jangan buang sisa minyak masak itu kerana ia boleh dijadikan minyak untuk jet.

Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah mencipta minyak jet yang baru dengan menggunakan sisa minyak masak.

Naib-Canselor Uniten Datuk Dr Mashkuri Yaacob hari ini berkata pihak universiti mengambil masa kira-kira enam tahun untuk menghasilkan biodiesel daripada sisa minyak masak itu.

Minyak jet yang baru itu dijangka diuji untuk penerbangan dalam masa tiga bulan akan datang memandangkan komposit pesawat yang baru dicipta dan dinamakan Jetpod oleh Avcen Limited, syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di United Kingdom, kini dipasang di Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Pesawat itu dicipta untuk pelbagai kegunaan seperti jet eksekutif dan ambulan udara.

Uniten hari ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Avcen Limited untuk memaju dan membekalkan minyak jet yang baru bagi Jetpod, di Uniten di sini.

Uniten diwakili oleh Dr Mashkuri manakala Pengarah Urusan Mike Dacre yang juga pencipta Jetpod menandatangani memorandum itu bagi pihak syarikat berkenaan.

Dr Mashkuri berkata penggunaan sisa minyak masak sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel dimulakan di Uniten pada November 2002 melalui projek yang dinamakan Kajian Potensi Tenaga daripada Sisa Minyak Masak di Malaysia.

Dianggarkan lebih kurang dua hingga tiga bilion liter minyak masak berasaskan sayur digunakan setiap tahun di Malaysia dan jumlah yang besar itu biasanya berakhir ke dalam sungai yang boleh menyebabkan pencemaran.

"Menukar sisa minyak masak kepada biodiesel adalah sesuatu yang mencabar kerana perlu mengendalikan parameter yang besar untuk mengeluarkan hasil yang menepati standard antarabangsa," kata Dr Mashkuri.

Beliau berkata sisa minyak masak yang dihasilkan Uniten memenuhi piawaian United States' National Biodiesel Board.

Beliau berkata ia adalah satu kejayaan bagi kajian biodiesel oleh Uniten dan pendapatan hasil mengkomersialkan kajian melalui usahasama dengan Avcen Limited akan membolehkan pihak universiti membiayai kajian lain.

Dacre berkata Jetpod yang kini dipasang di Taman Teknologi, menggunakan 60 peratus komponen keluaran tempatan.

Beliau berkata Jetpod boleh berlepas dan mendarat di landasan sepanjang 125 meter, dengan kelajuan 375 knots serta mampu mengurangkan bunyi bising.

-- BERNAMA

No comments: